SIKAP terlalu berkira kadangkala begitu menjengkelkan insan di sekeliling. Lebih-lebih lagi jika seorang suami bersifat kedekut terhadap isteri dan anak-anak mereka.
Kadangkala sukar untuk akal mencerna perilaku tersebut. Masakan tidak, mereka bukanlah orang asing dalam kehidupan kita. Sebaliknya individu-individu berkenaan menjadi watak penting yang wajar kita hargai selagi hayat dikandung badan.
Namun begitu, entah mengapa kemahuan dan adakalanya keperluan mereka diabaikan begitu sahaja.
Lebih menjelikkan apabila lelaki tersebut tidak kisah untuk membelanja rakan-rakannya makan, tetapi sifat itu menjadi sebaliknya apabila bersama keluarganya.
Demikianlah lumrah kehidupan yang dilalui oleh segelintir orang. Barangkali plot ceritanya lebih kurang sama, cuma berbeza dari segi naratifnya.
Mengulas sifat suami suka berkira dengan isteri, pendakwah Ustaz Elyas Ismail mengingatkan agar ketua keluarga tersebut tidak bersikap sedemikian.

USTAZ ELYAS
Sebaliknya beliau menyarankan agar mereka menjadi suami yang suka berbelanja untuk keluarga, selain berbaik-baik dengan isteri dan anak-anak.
“Ketahuilah, ALLAH SWT akan melimpahkan rezeki yang lagi banyak dan tidak putus-putus dalam hidup orang yang pemurah dan suka bersedekah. Lebih-lebih lagi dengan keluarga sendiri,” katanya sebagaimana yang dikongsikan menerusi video di laman sosial Facebook miliknya.
Dalam hal itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus mengajak umat Islam merenung semula sebuah hadis masyhur berkaitan dengan suami yang baik.
Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik kepada isterinya, dan aku (Nabi Muhammad SAW) adalah orang yang paling baik di antara kalian kepada isteriku.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)
Jelas beliau, maksud baik terhadap isteri itu termasuklah suami mudah memberikan hartanya.

SUAMI perlu memberi layanan baik terhadap isterinya termasuk mudah memberikan hartanya. -Foto: Freepik
“Sebagai contoh, apabila kita ke pasar dan isteri telefon meminta tolong belikan selipar berharga RM30 misalnya. Sebagai suami yang baik, sudah tentulah kita belikan selipar yang berharga lebih daripada itu.
“Ini kerana isteri sudah melahirkan anak-anak kita, menyediakan makanan, mencuci pakaian kita dan sebagainya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video YouTube miliknya.
Menurut agamawan itu, semua perbuatan tersebut sebenarnya dikira sebagai satu bentuk sedekah.
“Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, sedekah itu dapat pahala walaupun hanya kepada binantang kecil. Memang haiwan itu kecil, tetapi ia ada perut seperti anak kucing dan ayam. Apabila kita bersedekah padanya, dapat pahala.
“Inikan pula isteri sendiri yang juga rakan kita satu ‘syarikat’ dalam rumah tangga,” katanya.
Justeru, Ustaz Azhar Idrus menasihatkan agar para suami tidak berkira terhadap isteri dan anak masing-masing.

USTAZ AZHAR IDRUS
Ketahuilah bahawa suami yang kedekut jauh dari syurga, ungkapnya.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang pemurah dekat dengan ALLAH, dekat dengan syurga, dekat dengan manusia, jauh dari neraka, orang yang kedekut jauh dari ALLAH, jauh dari syurga, jauh dari manusia, dekat dengan neraka, orang yang jahil yang pemurah lebih ALLAH sukai daripada seorang yang rajin beribadah namun kedekut.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Meskipun ada pandangan yang menyatakan hadis itu berstatus sangat lemah, tetapi ia boleh dijadikan pedoman dan sebagai motivasi kepada diri agar tidak bersifat kedekut terutamanya terhadap ahli keluarga sendiri.