Saudara dan jiran prihatin perlu sediakan makanan kepada keluarga yang berdepan kematian, bukannya riang menjamu selera di rumah si mati…
APABILA perginya anak Adam kembali menghadap Sang Pencipta, maka tinggallah ahli keluarga di rumah hanya mampu menangisi pemergian insan tersayang.
Sudahlah sedang bersedih, keluarga itu juga terpaksa pula mengerah tenaga menyediakan hidangan buat tetamu yang hadir menziarah. Begitulah antara norma masyarakat Melayu tatkala berdepan dengan kematian.
Apabila diamati, rasanya tidak sempat untuk bersedih lama-lama dengan kematian tersebut kerana keluarga si mati terpaksa memikirkan menu apa yang perlu sediakan untuk kenduri tahlil arwah selama 3, 7 atau 40 hari.
Ya, Islam sememangnya menegah umatnya daripada terus meratapi atau bersedih terhadap suatu ajal dalam masa yang lama.
Namun, ruang juga harus diberikan kepada ahli keluarga untuk mendoakan jenazah serta menguruskan perkara yang lebih penting lagi.
Justeru, tahukah anda bahawa kita disunatkan untuk memberi makanan kepada keluarga si mati, tidak kira sama ada dengan memasak sendiri atau dibeli?

AMALAN itu merupakan antara sunnah berkaitan kematian yang dilupakan kebanyakan masyarakat. Foto: Unsplash
Sunnah yang semakin dilupakan masyarakat itu pernah disebutkan Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis apabila baginda mendapat berita kematian Ja’afar bin Abi Talib RA, iaitu:
Sabda baginda Nabi: “Buatkan untuk keluarga Ja’afar makanan yang mana sesungguhnya sesuatu (musibah kematian) telah menimpa mereka dan menyibukkan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Perkara tersebut diajarkan Nabi SAW sebagai salah satu cara untuk meringankan beban keluarga si mati yang pastinya sibuk menguruskan jenazah.

DENGAN melakukan perbuatan kecil tetapi bermakna seperti menyumbangkan makanan, moga-moga akan berkurangan beban dan kesedihan keluarga si mati. Foto: Google
Walau bagaimanapun, tidak salah jika keluarga berkenaan tetap ingin menyediakan juadah kecil-kecilan bagi menghargai jasa tetamu yang hadir membantu dalam pengurusan jenazah.
Pun begitu, hal seperti juadah dan sebagainya lebih elok sekiranya dibantu oleh jiran tetangga atau saudara-mara.
Bagi kita pula yang mungkin ada kenalan atau kaum kerabat sedang berdepan suatu kematian, ambillah inisiatif untuk menyumbangkan makanan buat keluarga si mati.
Dengan harapan perbuatan kecil itu bukan sahaja dapat meringankan beban menguruskan jenazah, bahkan turut mengurangkan kesedihan yang menyelubungi hati keluarga si mati atas sebab kematian tersebut.
Sumber: Portal Mufti Wilayah Persekutuan