Inilah Kisah PemudaII Penghuni Gua Dalam Al-Quran Yang Disunnahkan Dibaca Kisah Mereka Tiap Jumaat



Kisah ashabul Kahfi adalah sebuah kisah yang masyhur dan sarat dengan pengajaran di dalamnya. Ini kerana, al-Quran juga terkandung di dalamnya kisah-kisah umat terdahulu untuk menjadi pengajaran kepada kita. Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, pada kisah-kisah mereka itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran”. [Yusuf:111]

Al-Kahfi di dalam bahasa Arab bermaksud Gua. Selain itu juga, Ashhabul Kahfi pula bermaksud Penghuni-Penghuni Gua. Nama ini juga diambil daripada kisah yang terdapat dalam surah ini iaitu pada ayat 9 hingga 26 mengenai beberapa orang pemuda yang ditidurkan oleh Allah SWT di dalam gua bertahun-tahun lamanya.

Kisah ini adalah sahih kerana ia disebut di dalam al-Quran iaitu di dalam surah al-Kahfi yang mana al-Quran adalah mutawatir.

Walaubagaimanapun, di dalam al-Quran tidak diceritakan secara terperinci kerana al-Quran lebih mengutamakan pengajaran daripada kisah tersebut. Selain itu juga, di dalam Mushannaf Abd al-Razzaq ada disebut kisah Ashabul Kahfi ini pada jilid kelima, halaman ke-423.

Ringkasan Kisah Ashabul Kahfi

Imam Ibn Kathir menceritakan secara ringkas akan kisah Ashabul Kahfi ini di dalam kitabnya: “Kisah ini menunjukkan bahawa ia berlaku pada zaman awal seperti mana yang disebut oleh sebahagian ahli tafsir bahawa ia berlaku selepas daripada al-Masih dan pada waktu itu mereka (kaum Ashabul Kahfi) adalah Nasrani.

Apa yang nyata daripada teks (ayat al-Quran) bahawa kaum mereka adalah musyrikin (syirik kepada Allah SWT) dengan menyembah berhala. Telah berkata ramai daripada kalangan ahli tafsir, sejarah dan selain daripada mereka, kisah ini dikatakan berlaku pada zaman raja Diqyanus.

Tambahan pula, mereka daripada kalangan anak-anak pembesar dan dikatakan juga bahawa mereka daripada kalangan anak-anak kepada raja-raja pada waktu itu.

Mereka telah berpakat untuk berkumpul pada hari perayaan kaum mereka lalu mereka melihat bahawa kaum mereka telah sujud kepada ber.hala serta membesar atau mengagungkan ber.hala-ber.hala tersebut.

Ini kerana, mereka telah melihat dengan pandangan hati yang suci, di samping Allah SWT telah membuka hati-hati mereka daripada sesuatu yang membawa kepada kelalaian dan mengilhamkan petunjuk kepada mereka.

Dengan itu, mereka mengetahui bahawa kaum mereka tidak berada dalam kebenaran maka mereka pun keluar daripada agama mereka (agama asal) dan berpindah kepada menyembah Allah SWT yang Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya”.  [al-Bidayah wa al-Nihayah, 2:114]

Bilangan Ashabul Kahfi

Di dalam al-Quran, Allah SWT ada menyatakan berkaitan bilangan Ashabul Kahfi. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “(Sebahagian dari) mereka akan berkata: Bilangan Ashabul Kahfi itu 3 orang, yang ke-4 adalah anjing mereka dan setengahnya pula berkata: Bilangan mereka ialah 5 orang, yang ke-6 adalah anjing mereka seperti meraba-raba dalam kegelapan akan sesuatu yang tidak diketahui dan setengah yang lainnya berkata: Bilangan mereka ialah 7 orang dan yang ke-8 adalah anjing mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”. [al-Kahfi:22]

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili menafsirkan ayat ini dengan mengatakan bahawa telah berlaku perselisihan dalam menentukan bilangan pada zaman Rasulullah SAW. Sebahagian mereka berpendapat mereka seramai 3 orang dan yang ke-4 adalah anjing mereka. Sebahagian mereka yang lain mengatakan bilangan mereka adalah seramai 5 orang dan yang ke-6 adalah anjing mereka. Kedua-dua pendapat ini adalah daripada Nasrani Najran. Tambahan pula, kedua-dua pendapat ini dibina atas sangkaan semata-mata. [al-Munir, 15:213]

Gambar hiasan

Pendapat Ulama’ Berkaitan Bilangan Ashabul Kahfi

Terdapat 3 pendapat di dalam masalah ini:

Pendapat Pertama: 3 orang dan yang ke-4 adalah anjing mereka.

Pendapat Kedua: 5 orang dan yang ke-6 adalah anjing mereka.

Pendapat Ketiga: 7 orang dan yang ke-8 adalah anjing mereka

Pendapat pertama dan kedua ini adalah pendapat daripada ahli kitab yang mana ia terbina bukan atas dasar ilmu. Disebabkan itu, Allah SWT meletakkan selepas dua pendapat ini (رَجْمًا بِالْغَيْبِ) yang bermaksud kata-kata tanpa ilmu.

Setelah melihat kepada tafsiran-tafsiran ahli Tafsir, kami cenderung untuk mengatakan bahawa pendapat ke-3 iaitu bilangan Ashabul Kahfi adalah 7 orang dan yang ke-8 adalah anjing mereka lebih tepat dan kuat. Ini kerana, pada ayat tersebut Allah SWT tidak menyifatkan pendapat yang ketiga itu dengan kata-kata tanpa ilmu.

Walaubagaimanapun, Allah SWT menyambung ayat tersebut dengan mengatakan bahawa hanya Dia dan sebahagian (sedikit) manusia yang mengetahui akan bilangan sebenar. Antaranya yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, bahawa beliau berkata:

Ini menunjukkan bahawa sebaik-baik cara adalah dengan menyerahkannya kepada Allah SWT dalam hal seperti ini.

Kelebihan Membaca Surah Al-Kahfi Pada Jumaat

Dari Abu Said Al-Khudri ra, dari Nabi saw bersabda :

“Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dia dan Baitul ‘atiq.” [Sunan Ad-Darimi 3273. An-Nasaei dan Al-Hakim]

Dalam riwayat lain dari Abu Sa’id Al-Khudri ra :

“Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan dipancarkan cahaya untuknya di antara dua Jumaat.” [HR Al-Hakim 2/368, al-Baihaqi 3/249. Ibnu Hajar kata ‘ Hadis Hasan’ dalam Takhrij al-Azkar. Beliau kata hadis ini paling kuat tentang surah Al-Kahfi].

Dari Ibnu Umar ra berkata : Rasulullah saw bersabda ;

“Siapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan memancar cahaya dari bawah kakinya sampai ke langit, akan menerangkan kelak pada hari kia.mat dan diampuni d0sanya antara dua Jumaat.”
[Al-Mundzir berkata : hadis ini diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Mardawih dalam tafsirnya dengan Isnad yang tidak cacat]. (Dari kitab at-Targhib Wa al-Tarhib 1/298)

Kesimpulannya, kisah Ashabul Kahfi mempunyai banyak pengajaran yang boleh diambil dan diteladani jika diamati dan ditadabbur ayat-ayat di dalam kisah ini. Akhirnya, semoga Allah SWT sentiasa merahmati kita dan memelihara iman kita. Amin.

Sampaikanlah ilmu ini kepada rakan dan keluarga. Semoga menjadi jariah pahala buat kita.

Sumber : MuftiWP / MUIS

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post