Ayam jantan berkokok tanda melihat malaikat, benarkah begitu?



DIKAMPUNG bila hampir Subuh, kokokan ayam bersahut-sahutan, bahkan terkadang di dini hari ada yang berkokok sayup-sayup kedengaran, tentulah mereka melihat malaikat. Siapa yang mendengarnya ia sebenarnya bertuah, siapa yang terjaga ia sebenarnya dikejutkan untuk satu kesempatan yang baik untuk berdoa.

AYAM jantan secara lumrahnya berkokok diwaktu awal pagi. Namun ada ketikanya ayam jantan berkokok diwaktu tengahari, malam atau petang. Rupanya terdapat keistimewaan pada ayam Jantan apabila ia dapat melihat malaikat rahmat turun ke muka bumi.

Berkokok merupakan isyarat supaya manusia memperbanyakkan berdoa moga-moga akan diaminkan oleh para malaikat berkenaan.

Persoalan berkenaan ayam berkokok apabila melihat malaikat sering menjadi tanda tanya di kalangan masyarakat adakah ia benar ataupun hanya rekaan semata.

Menurut tokoh agama terkemuka, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri melalui laman webnya Maktabah Al-Bakri, persoalan berkenaan ayam berkokok apabila melihat malaikat adalah sebagaimana hadis sahih.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Jika kamu mendengar ayam berkokok maka mohonlah kepada ALLAH SWT akan kurniaan-NYA, kerana ia (ayam) melihat malaikat. Dan apabila kamu mendengar bunyi (suara) keldai maka mohon perlindunganlah kepada Allah SWT daripada Syaitan, kerana ia (keldai) sedang melihat syaitan”. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, dan al-Tirmizi)

SENATOR Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Larangan Mencela Ayam

Daripada Zaid bin Khalid al-Juhani RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda “Jangan kamu mencela ayam jantan, kerana ia membangunkan orang untuk solat”.

Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan pandangan al-Halimi, katanya: Faedah daripada hadis ini bahawa semua yang boleh memberikan manfaat kebaikan, tidak selayaknya dicela dan dihina.

Sebaliknya, dia dimuliakan dan dilayan dengan baik. Sabda Baginda SAW ayam membangunkan (orang) untuk solat’ bukanlah bermaksud dia menyebut solat secara hakikat’ namun maknanya adalah bahawa kebiasaan ayam berkokok ketika terbit fajar dan ketika tergelincir matahari. Fitrah ayam adalah fitrah yang ALLAH berikan kepadanya.

Galakan Berdoa

Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari menukilkan kata-kata ‘Iyadh: Sebab kita dianjurkan berdoa ketika ayam berkokok adalah mengharapkan ucapan amin dari malaikat untuk doa dan permohonan ampun mereka kepada kita, serta persaksian mereka akan keikhlasan kita.

DIGALAKKAN berdoa ketika mendengar ayam berkokok kerana ia sebenarnya melihat malaikat. 

Faedah yang boleh diambil daripada hadis ini adalah tuntutan untuk berdoa ketika hadirnya orang-orang yang soleh.

Manakala Syihabuddin Ahmad bin Muhammad al-Qastalani di dalam syarahnya menyatakan: Para ulama’ memahami makna hadis ini bahawa kita diminta untuk berdoa kepada ALLAH SWT ketika mendengar bunyi ayam berkokok serta dalam masa yang sama kita juga mengharapakan agar para malaikat mengaminkan doa dan istighfar para malaikat.

Selain itu juga, agar para malaikat ini menjadi saksi akan keikhlasan dan kerendahan (kehinaan) diri kita ketika memohon kepada ALLAH SWT. Tambahan pula, hadis ini menunjukkan sunat kita berdoa ketika kehadiran orang-orang yang soleh.

Antara kelebihan yang ada pada ayam ialah dengan mengetahui waktu-waktu walaupun kadang-kadang siang itu panjang dan juga kadang-kadang siang itu pendek. Begitu juga, ia berkokok sebelum dan selepas subuh. Maha suci ALLAH yang menjadikan ayam seperti itu.

KOKOKAN ayam jantan pada waktu malam tanda kehadiran malaikat adalah benar. 

Syeikh Syams al-Haq al-Azim Abadi pula menyatakan di dalam huraiannya: Dikatakan hadis ini menunjukkan bahawa turunnya rahmat ketika hadirnya orang-orang yang soleh maka kita disunatkan untuk berdoa pada waktu itu.

Jelas seperti yang dinyatakan, bahawa ayam jantan berkokok disebabkan mereka melihat malaikat adalah benar sebagaimana Rasulullah SAW sebut di dalam hadis yang sahih.

Justeru, kita digalakkan untuk berdoa kepada ALLAH SWT ketika kehadiran malaikat dengan harapan moga-moga malaikat mengaminkan doa kita.

sumber ; sinarislamplus

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post